Tuesday, 11 September 2012

Ayat Dalam Bahasa Melayu


Merujuk kepada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap ayat mengandungi unsur klausa, manakala klausa terbentuk daripada unsur frasa dan frasa pula terdiri daripada bentuk-bentuk perkataan.

1.  AYAT-----Anak orang itu sedang tidur
2.  KLAUSA---------Anak orang itu sedang tidur
3.  FRASA---------------i) Anak orang itu   ii) sedang tidur
4.  PERKATAAN--------------i)Anak---ii)orang---iii)itu---iv)sedang---v)tidur
Ayat Dalam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis :
1.Ayat Penyata
2.Ayat Tanya
3.Ayat Seruan
4.Ayat Perintah
Ayat Penyata
Ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu penyataan. Ia juga disebut ayat berita atau ayat keterangan.
Dia mekanik.
Munzir sedang mandi.
Ibu saya sentiasa bergaya .
Rumah saya rumah papan.

Ayat Tanya
Ayat yang digunakan untuk tujuan menanya sesuatu hal. Ia diucapkan berdasarkan nada suara dengan pengggunaan perkataan tertentu.Ayat tanya terdapat dua jenis:
 1.Ayat tanya tanpa kata tanya                             
 2.Ayat tanya dengan unsur tanya


Contoh ayat tanya tanpa kata tanya:

1.  Adik masih di sana?
2.  Budak itu terlibat dengan kemalangan?
3.  Dia terperanjat?
4.  Dia bekerja dari malam tadi?
5.  Awak hendak makan sekarang jugakah?
6.  Mereka datang ke sini pagi tadikah?

Kesemua ayat di atas hanya boleh dijawab dengan jawapan ya atau tidak.

Contoh ayat tanya dengan unsur kata tanya

 Ayat tanya jenis ini mengandungi unsur seperti apa,siapa,di mana,mengapa,bagaimana dan sejak bila .

1. Berapa harga kasut kamu ini?
2. Dia meninggal bila?
3. Awak datang lambat kenapa?
4. Mengapa adik menangis?
5. Keadaan ayahnya  bagaimana?
6. Benda itu apa?
7.  Ibunya siapa?
8.  Tuan tinggal di mana?
9.  Anak Mak Jemah berkahwin dengan siapa?

Walau bagaimanapun , ayat-ayat di atas merupakan bentuk bahasa lisan. Bagi bentuk bahasa tulisan, ayat-ayat tersebut perlu menerima partikel-kah

Ayat Seruan 

Menurut Tatabahasa Dewan(Edisi Ketiga), ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan seperti takut,marah,takjub,geram,sakit,dan sebagainya.Intonasi seruan ini digambarkan dalam tulisan dengan  tanda seru(!) yang terletak di akhir ayat.   Antara kata seru ialah oh, amboi, wah, cis, eh, aduh, syabas dan sebagainya

http://www.smartbees.com.my/learning/melayu/Tatabahasa3/t

Contoh Ayat Seruan

1. Aduh, bisanya kaki saya!
2. Cis, berani kau ganggu adikku!
3. Wah, besarnya kereta abang!
4. Ibu!
5. Oh, Tuhanku!
6. Nah, ambil wang ini!

Ayat Perintah 

Menurut Tatabahasa Dewan (Edisi Ketiga) dalam ms 448 /16.8.3, ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti awak,kamu, engkau dan sebagainya yang biasa digugurkan.Berdasarkan perkataan yang digunakan , ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis:
1. Ayat suruhan
2. Ayat larangan
3. Ayat silaan
4. ayat permintaan

i)  Ayat Suruhan 
Ayat ini digunakan untuk tujuan memberi perintah atau arahan. Contoh:

1. Keluar dari sini!
2. Awak siapkan kerja ini sekarang!
3. Pergi dari sini!
4. Keluarlah dari bilik ini!
5.Menjeritlah sekuat-kuatnya!
6.Jagalah barang-barang ini!
 

ii)  Ayat Larangan
Ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan,usah atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu.Contoh

1. Jangan ambil pensel dia.
2. Kamu jangan beritahuu dia .
3. Awak tak usah datang lagi.
4. Usah dikenang lagi perkara yang lalu.

Ada juga ayat larangan yang tidak menggunakan kata larangan.Contoh:

1. Dilarang merokok.
2. Ditegah berludah di sini.

iii)  Ayat Silaan
Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan.Contoh:

1. Sila datang ke pejabat sekarang.
2. Sila buat laporan tentang seminar tersebut.
3. Jemput minum teh yang terhidang itu.
4. Jemput masuk.

Ayat silaan boleh dilembutkan dengan menggunakan partikel penegas-lah. 
Contohnya

1.Silalah datang ke rumah saya.
2.Jemputlah minum teh yang terhidang itu.
3.Jemputlah masuk ke dalam.
4. Jemputlah datang ke majlis perkahwinan saya.

iv)  Ayat permintaan
Ayat yang menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong.Contoh:

1. Minta tuan benarkan kami masuk
2. Minta kamu semua bertenang.
3.Tolong tutup pintu itu.
4.Tolong selesaikan pergaduhan itu.

Bentuk ayat silaan dan permintaan biasanya tidak membawa pengertian yang negatif sebagai mana yang terdapat dalam ayat larangan.

Saturday, 8 September 2012

Mukadimah

Bermula 2011 saya begelar salah seorang guru pelatih di IPGM Temenggung Ibrahim. Umur saya menjangkau 40+. siapa sangka umur seperti saya masih begelar guru pelatih sedangkan gelaran itu telah lama ditinggalkan lebih 20 tahun yang lalu. Semua perkara yang dipelajari sangat asing bagi saya kerana zaman telah berubah seiring dengan perkembangan sains dan teknologi masa kini. Berbeza dengan zaman 20 tahun yang lalu semasa saya begelar guru pelatih. Sekarang saya menjadi guru pelatih antik. Jika ada salah silap sila maafkan kerana saya bukan budak baru belajar tetapi orang tua yang sedang belajar.

Sempena kewujudan blog saya ini diharap dapat membantu saya dan semua untuk sama-sama belajar dan meningkatkan taraf pendidikan negara kita. Terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan guru yang jauh lebih muda dari saya yang membantu saya dalam menghasilkan blog ini bagi merealisasikan proses pembelajaran saya di IPGM Temenggung Ibrahim.  Siapa sangka anak murid yang pernah diajar oleh saya mengajar saya semula. Ilmu itu bukan hanya daripada orang lama tetapi juga boleh dikongsi daripada orang-orang muda.